Friday, 3 May 2013

Santai Minda Sambil Berfikir Sejenak

Pagi ini merenung beberapa perkara yang melibatkan kerjaya sebagai seorang guru... Kadangkala terfikir berapa ramaikah antara golongan masyarakat yang menilai guru sebagai suatu yang murni dan penting. Pada hal pada pendapat peribadi saya, "hanya GURU dan mereka yang pernah menjadi CIKGU tidak kira sandaran, gantian atau sementara" yang benar-benar tahu kerja guru ini bagaimana, cabaran guru harus dihargai atau diberi pengiktirafan.... memenag tidak ada seorangpun hamba Allah yang terlepas dari kesilapan, kelemahan atau kekurangan. Guru juga seorang manusia. Kami manusia biasa. Jadi adalah wajar kami dinilai, dihargai dan dilihat sebagai seorang hamba yang serba kekurangan. Pada saya tidak ada mana-mana guru mahukan anak muridnya gagal dalam hidup cuma mungkin yang menjadi persoalan bagaimana kaedah dan cara atau pendekatan yang digunakan oleh guru itu ditafsir dan dinilai oleh masyarakat sekeliling termasuklah murid-murid.... Saya juga membaca tulisan Dr Rubiah : 

..................................................................................................................................................................
Antara rakan-rakan yang memberi komen : Zulkarnain Farihin Mustakim 


SUATU ketika dulu guru cukup dihormati dan dianggap ketua dalam masyarakat. Namun, keadaan hari ini berbeza kerana guru menjadi mangsa keganasan pelajar, dicabul, ditumbuk dan dicekik. Justeru, di mana kedudukan guru dalam masyarakat? Biarpun mereka ikhlas berkhidmat mendidik anak bangsa, jika dibalas dengan perlakuan melampaui batas, semangat berkobar-kobar itu tentu merundum. Ditakuti sikap kurang ajar itu boleh mencantas hasrat dan dedikasi guru memberi ilmu dan ini merugikan pelbagai pihak terutama ketika negara menuju Wawasan 2020. Persoalannya, mengapa pelajar yang masih berusia setahun jagung berani bersikap demikian. Apakah kerana pengaruh globalisasi, keadaan keluarga yang kacau bilau atau sikap lepas tangan ibu bapa hingga anak terjebak ke kancah gangsterisme? Ataupun, golongan dewasa tidak memahami gelodak jiwa remaja hingga terus meletakkan kesalahan di bahu mereka?

Pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak semata-mata. Menurutnya, menyalahkan pelajar atau guru semata-mata tanpa penjelasan terperinci tidak adil, malah boleh memburukkan lagi keadaan. “Memang, masyarakat keliru apabila membaca paparan disiplin pelajar dan konflik guru hari ini, namun apa jua hukuman wajar dilakukan dengan teliti. “Tidak boleh salahkan mana-mana pihak tanpa meneliti cerita sebenar, malah jika tindakan terburu-buru diambil akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan jurang konflik sedia ada. “Dalam hal ini, sikap saling menghormati sangat penting. Apa pun, taraf guru wajar dihormati,” katanya. Mengulas perkembangan semasa membabitkan guru yang menjadi mangsa pelajar, Dr Rubiah berkata, antara faktor penyumbang ialah pelaksanaan peraturan tidak memasukkan elemen perasaan. Menurutnya, apabila hanya elemen undang-undang statik diamalkan, ia akan mewujudkan kekangan di kalangan perasaan pelajar dan menggugat emosi mereka.

Apabila berlaku krisis, berlaku ledakan perasaan dan jika pelajar tidak mampu menerima, ia akan mencetuskan masalah disiplin selain membenci guru mahupun institusi sekolah. “Untuk mewujudkan 'keserasian' antara guru-pelajar, peraturan sekolah mestilah ada elemen perasaan, bukan sekadar perlaksanaan undang-undang berbentuk statik. “Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi perlu ada cetusan emosi di dalamnya. Jika pelajar tidak boleh menerimanya, mereka akan rasa tergugat sebab tiada penghayatan. “Peraturan itu daripada guru dan institusi sekolah tanpa melihat kesesuaian taraf pelajar, ada pelajar boleh, ada yang tidak (terima), justeru, kena tengok keseimbangan sewaktu melaksanakannya,” katanya. Insiden membabitkan pelajar menggemparkan masyarakat sehingga memaksa pelbagai pihak mengambil tindakan drastik bagi membendung senario itu.

Antaranya, menghadapkan pelajar terbabit ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Disiplin sebelum tindakan diambil, mengenakan hukuman keras seperti menggantung sesi persekolahan, tindakan buang sekolah selain mengikuti kursus jati diri. Kementerian Pelajaran juga bertindak dengan melakukan persediaan bagi meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bertujuan mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah. Pada masa sama kementerian juga mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai. Dr Rubiah turut menyarankan, penyelesaian permasalahan antara guru dan pelajar wajar dilihat dari pelbagai perspektif dengan kedua-dua pihak saling memahami peranan masing-masing. Menurutnya, kaedah kaunseling salah satu pemangkin bagi mencari penyelesaian, namun tidak boleh digunakan sepenuhnya kerana hanya memenuhi keselesaan satu pihak iaitu guru.

“Dalam hal disiplin pelajar, yang menjadi mangsa keadaan adalah guru kerana mereka terikat dengan pelbagai peraturan. Untuk mencari jalan penyelesaian disiplin ini, biasanya menggunakan sesi kaunseling. “Jalan terbaik ialah guru pandai mengawal emosi tapi pada masa sama, tunjukkan ketegasan dalam kelembutan. Semaikan juga sifat keibuan,” katanya. Sementara itu, seorang guru, Suliman Latif, berkata tidak dinafikan institusi guru hari ini cenderung berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar tidak dijangka. Menurutnya, kuasa yang terbatas, terikat dengan pelbagai peraturan ditambah dengan sikap sesetengah ibu bapa yang hanya mendengar cerita anak menjadikan sesetengah pelajar 'naik lemak' hingga sanggup memperlekehkan guru. “Insiden pelajar mencekik guru membuktikan bagaimana beraninya pelajar hari ini. “Ini merencatkan perjalanan institusi persekolahan selain berkemungkinan menggagalkan usaha melahirkan generasi pemimpin,” katanya.

BEBERAPA INSIDEN MEMBABITKAN PELAJAR DAN GURU
1. GARA-GARA menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor mengalami trauma apabila lehernya dicekik seorang daripada pelajar terbabit.

2. Warden asrama di sebuah sekolah di Sarawak mendenda 200 pelajar perempuan dengan merendam mereka di dalam kolam hampir sejam kerana seorang daripada mereka enggan mengaku kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas.

3. Seorang bapa mendakwa tulang tangan kanan anaknya retak akibat dipukul guru disiplin sekolah kerana kesalahan tidak membuat kerja rumah, nakal serta ponteng sekolah.

4.Seorang pelajar pekak dan bisu menyaman tiga guru, pengetuanya dan kerajaan Malaysia untuk menuntut ganti rugi khas lebih RM2,000 dan ganti rugi am kerana mendakwa dicederakan dan dicabul kehormatan dalam dua kejadian pada Januari dan Mac tahun lalu.

..................................................................................................................................................................
Pada saya jangan hanya menuding jari pada kami golongan guru. Banyak punca sebenarnya masalah disiplin pelajar ini. Di sekolah guru hanya sebagai pembimbing, kadangkala memberi nasihat dan tunjuk ajar merupakan satu kewajipan. Persoalan saya ialah mengapa kalau masalah disiplin pelajar (remaja) berlaku guru-guru yang dipersalahkan?. Adakah kerana remaja itu masih bersekolah maka guru bertanggungjawab menjadikan disiplin mereka "kacau".... sedangkan kalau difikirkan asas pendidikan tidak formal juga sebenarnya sangat penting dalam membentuk sahsiah. Sekolah hanya sebagai pemantap disiplin tetapi asas disiplin itu bagaimana?. Saya merayu pada masyarakat... jangan suka menuding jari ke arah "orang lain" kerana 1 jari kita tuding ke arah orang, 4 jari akan menuding balik ke arah kita. Semoga ini menjadi renungan. sama-samalah kita mantapkan sahsiah diri agar kita boleh menjadi model kepada masyarakat lain. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.