Monday, 6 May 2013

Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia -Antara Manfaatnya-
Disumbangkan oleh :
~M.Mirza Zulhilmi~



Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Antara tujuan Gagasan 1Malaysia ialah memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang boleh menganggu gugat ketenteraman dan perpaduan masyarakat dan negara. Gagasan ini juga, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum.

Kebaikan :
1. Menerapkan nilai-nilai perpaduan :
Konsep 1Malaysia ialah satu gagasan untuk memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira asal keturunan sama ada Melayu, Cina, India mahupun golongan etnik bumiputera yang lain dan  sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Sikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain perlu dijauhi. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama kelompok kaum dan keturunan yang berbeza. Setiap perlakuan, tutur kata dan tindakan perlu dijaga supaya mengelak perbalahan dan merasakan kita sebagai “satu masyarakat Malaysia” yang mempunyai hak yang sama. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan. Konsep 1Malaysia ini mampu membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada keharmonian serta kemajuan negara.

2. Konsep 1Malaysia dapat menjana tranformasi negara :
Negara Malaysia terdiri daripada kohot masyarakat yang mempunyai latar belakang da nasal usul pendidikan, tahap sosio ekonomi dan cara hidup yang berbeza. Lokasi kependudukan juga ada yang di Bandar, pinggir Bandar dan luar Bandar. Ini sudah memungkinkan cara berfikir dan cara hidup adalah berbeza. Jika konsep 1 Malaysia dapat  ditanam di kalangan masyarakat, mereka akan dapat menerima transformasi  yang diperkenalkan oleh kerajaan secara terbuka. Selain itu, dalam konsep 1 Malaysia, semua rakyat tidak mengira kaum boleh mendapat bidaan projek pembangunan kerajaan dengan adil dan saksama kerana Konsep 1Malaysia ialah “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” memastikan semua golongan masyarakat akan dipastikan hak keadilan sosio ekonomi merera selaras dengan visi Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

3. Jaminan politik yang stabil untuk negara Malaysia
Bagi melaksanakan gagasan ini, tidak kira apapun bentuk jentera pentadbiran negara, semua pihak pentadbir perlu bekerjasama dengan menegetpikan ideology politik dan kepentingan peribadi dengan mengambil berat tentang kepentingan rakyat sebagai ciri keutamaan negara. Setiap lapisan masyarakat sama ada tua muda, cerdik pandai ataupun apa sahaja golongan lapisan masyarakat perlu memikirkan tentang teladan peristiwa 13 Mei 1969 supaya ianya tidak berulang kembali. Daya kepimpinan dan bentuk pimpinan jentera pentadbiran negara dengan tersemainya konsep 1Malaysia ini memungkinkan lapisan pemimpin yang bakal dilahirkan kini dan masa akan dating ialah dari kalangan mereka yang mempunyai asas pengetahuan dan nilai penghormatan terhadap adat resam dan cara hidup semua golongan lapisan masyarakat di Malaysia.

Rumusan :
Sesungguhnya Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.