Monday, 6 May 2013

Latihan Esei : Malaysia sebagai hub halal dunia


Soalan : Malaysia sebagai sebuah pusat atau hub produk halal bukan sahaja mempunyai kepentingan bagi memacu ekonomi negara tetapi merangkumi beberapa aspek pembangunan yang lain. Jelaskan pernyataan ini.

(Skema : 5+0) = Kepentingan/manfaat 

Pengenalan : 
Hub halal merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran produk halal. Hub produk halal penting untuk memudahkan orang ramai memperoleh bekalan makanan halal.

Isi Perbincangan :
1. Memacu pertumbuhan ekonomi negara :
- Malaysia diiktiraf sebagai "hub halal dunia" pada tahun 2010.
- Meningkatkan pendapatan negara.
- Nilai pasaran global bagi produk halal Malaysia pada tahun 2010 = dianggarkan RM8 trillion setahun

2. Wujudnya industri hiliran :
- wujudnya sektor berasaskan ekonomi pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran
- contoh _ industri penternakan - daging lembu - burger, sosej, satay dan sebagainya.
- sebagai pemacu ekonomi golongan masyarakat khasnya dan membantu kepelbagaian ekonomi halal Malaysia amnya.

3. Meningkatkan taraf hidup :
- Memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan
- secara langsung kurangkan kadar pengangguran
- kurangkan kadar kemiskinan & tingkatkan pendapatan isi rumah melalui keluaran produk halal walaupun dalam jumlah yang sedikit.

4. Mengurang krisis bekalan makanan halal :
- hub ini berupaya membekalkan makanan halal yang diperlukan
- memnajdi pembekal kepada negara bukan Islam seperti Jepun, China, Korea, Filipina, Hong Kong, UK dll.

5. Pemindahan teknologi :
- menggalakkan penglibatan pengusaha, peniaga dan pelabur antarabangsa
- teknologi dari negara luar dibawa masuk
- contoh : teknologi pembungkusan dan pemprosesan

Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia -Antara Manfaatnya-
Disumbangkan oleh :
~M.Mirza Zulhilmi~



Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Antara tujuan Gagasan 1Malaysia ialah memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang boleh menganggu gugat ketenteraman dan perpaduan masyarakat dan negara. Gagasan ini juga, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum.

Kebaikan :
1. Menerapkan nilai-nilai perpaduan :
Konsep 1Malaysia ialah satu gagasan untuk memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira asal keturunan sama ada Melayu, Cina, India mahupun golongan etnik bumiputera yang lain dan  sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Sikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain perlu dijauhi. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama kelompok kaum dan keturunan yang berbeza. Setiap perlakuan, tutur kata dan tindakan perlu dijaga supaya mengelak perbalahan dan merasakan kita sebagai “satu masyarakat Malaysia” yang mempunyai hak yang sama. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan. Konsep 1Malaysia ini mampu membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada keharmonian serta kemajuan negara.

2. Konsep 1Malaysia dapat menjana tranformasi negara :
Negara Malaysia terdiri daripada kohot masyarakat yang mempunyai latar belakang da nasal usul pendidikan, tahap sosio ekonomi dan cara hidup yang berbeza. Lokasi kependudukan juga ada yang di Bandar, pinggir Bandar dan luar Bandar. Ini sudah memungkinkan cara berfikir dan cara hidup adalah berbeza. Jika konsep 1 Malaysia dapat  ditanam di kalangan masyarakat, mereka akan dapat menerima transformasi  yang diperkenalkan oleh kerajaan secara terbuka. Selain itu, dalam konsep 1 Malaysia, semua rakyat tidak mengira kaum boleh mendapat bidaan projek pembangunan kerajaan dengan adil dan saksama kerana Konsep 1Malaysia ialah “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” memastikan semua golongan masyarakat akan dipastikan hak keadilan sosio ekonomi merera selaras dengan visi Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

3. Jaminan politik yang stabil untuk negara Malaysia
Bagi melaksanakan gagasan ini, tidak kira apapun bentuk jentera pentadbiran negara, semua pihak pentadbir perlu bekerjasama dengan menegetpikan ideology politik dan kepentingan peribadi dengan mengambil berat tentang kepentingan rakyat sebagai ciri keutamaan negara. Setiap lapisan masyarakat sama ada tua muda, cerdik pandai ataupun apa sahaja golongan lapisan masyarakat perlu memikirkan tentang teladan peristiwa 13 Mei 1969 supaya ianya tidak berulang kembali. Daya kepimpinan dan bentuk pimpinan jentera pentadbiran negara dengan tersemainya konsep 1Malaysia ini memungkinkan lapisan pemimpin yang bakal dilahirkan kini dan masa akan dating ialah dari kalangan mereka yang mempunyai asas pengetahuan dan nilai penghormatan terhadap adat resam dan cara hidup semua golongan lapisan masyarakat di Malaysia.

Rumusan :
Sesungguhnya Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Wawasan 2020 -Pendekatan yang Dilakasanakan Untuk Mencapai Wawasan 2020-





Konsep Wawasan 2020 mula diperkenalkan bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020 secara menyeluruh. Antara pendekatan yang harus dilakukan ialah melalui beberapa perkara di bawah ini :

1. Pembentukan sebuah Negara Bangsa :
Negara bangsa ialah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara bangsa membentuk sebuah negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental. Rakyatnya akan menikmati kehidupan berasaskan persamaan hak, keadilan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan negara. Faktor-faktor yang membawa kepada pembentukan negara bangsa ialah lingua franca, integrasi, kewarganegaraan, patriotisme dan demokrasi. Dalam usaha pembentukan negara bangsa ini, kerajaan memfokus dan melaksanakan strategi iaitu memperkasakan Bahasa Kebangsaan, memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri dan semangat patriotik dalam diri individu.

Pembentukan sebuah negara bangsa menjadi prasyarat kepada kemajuan negara kerana rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa. Tanpa penyatuan pemikiran dan kerjasama, kemajuan negara tidak akan tercapai.

2. Membentuk negara perindustrian :
Ekonomi Malaysia melalui proses transformasi yang pesat dari sebuah negara yang dulu ekonominya bergantung kepada sektor pertanian kepada sebuah negara yang berteraskan sektor industri yang berkembang maju. Barangan perkilangan kini menyumbang lebih 80.0% daripada jumlah eksport negara, dengan barangan elektrik dan komposisi industri yang terlibat, negara ini bertaraf industri maju, namun hakikatnya ekonomi Malaysia telah melalui suatu era perindustrian yang pesat. Perkembangan sektor perindustrian kini bukan setakat untuk memenuhi keperluan domestik semata-mata, tetapi lebih kepada usaha untuk menembusi pasaran global. Fenomena yang sama turut berlaku dalam sektor perkhidmatan. Cabaran terbesar yang perlu dihadapi kini ialah bagaimana cara meningkatkan keupayaan ekonomi negara dalam menghadapi era globalisasi supaya dapat terus bersaing di pasaran antarabangsa. Dalam waktu yang sama, tingkat kebajikan penduduk terus dapat dipelihara. Justeru, ekonomi Malaysia harus mampu memenuhi tuntutan globalisasi dan lebih bersedia menghadapi era pascaindustri yang lebih mencabar. (Rujukan :  Ishak Yussof, Nor Aini Idris dan Basri Abdul Talib. 2006. “Ekonomi Malaysia Ke arah Pascaindustri”.)

Hal ini bukan sahaja melibatkan transformasi kehidupan berpaksikan pertanian tetapi juga melibatkan transformasi ekonomi, sosial, kebudayaan dan teknologi. Masyarakat negara maju didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi serta inoivasi dan bukan sahaja mencedok dan mengubahsuai semata-mata.

3. Keadilan ekonomi dan sosial
Mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang suatu yang penting bagi mewujudkan negara maju dan bersatu ke arah wawasan 2020. Hal ini kerana untuk mengelak dari wujudnya masyarakat tercicir kerana akan berlaku salah anggap terhadap ketidakadilan bantuan untuk setiap lapisan masyarakat dari segi pembangunan ekonomi dan sosial. Keseimbangan ini penting supaya wawasan ke arah negara maju akan dicapai.

4. Membentuk masyarakat bermoral dan beretika tinggi :
Nilai dan masyarakat amat berkait rapat. Jika sesebuah masyarakat mengamalkan nilai baik, masyarakat tersebut mampu hidup harmoni dan berkembang  maju . Anggota dalam sesebuah masyarakat  terdiri daripada individu, keluarga, organisasi dan masyarakat itu sendiri. Etika nilai penting dalam kehidupan masyarakat kerana ia berhubung dengan perlakuan tingkahlaku masyarakat manusia  sama ada baik atau buruk. Negara dapat berkembang maju dan pesat tanpa gangguan.

Malaysia kepada sebuah negara maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru cara dan corak negara-negara maju yang wujud sekarang.  Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja.  Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi.  Kehendak ini adalah bertepatan dengan cabaran ketujuh yang terkandung dalam Wawasan 2020.  Cabaran ketujuh tersebut adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Masyarakat yang sempurna seharusnya berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika yang tinggi demi untuk kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara.  Menghayati dan mengamalkan falsafah moral dan etika adalah penting kerana kemajuan daripada segi kebendaan sahaja akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang. Penghayatan dan amalan nilai-nilai moral dan etika oleh setiap anggota masyarakat akan menjadi penghalang dalaman kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kelebihan yang dimiliki untuk mengganggu hak orang lain. 

5. Melahirkan modal insan kelas pertama :
Untuk mempersiapkan diri kita didalam organisasi dan misi negara ke arah negara maju menjelang 2020, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan. ‘Minda Kelas Pertama’ secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Justeru, langkah kerajaan di bawah pimpinan mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan belia Minda Kelas Pertama adalah bertepatan sekali dengan misi dan visi negara untuk mencapai sasaran Negara Dunia Pertama. Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Demikian antara ungkapan penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan RMK-9. Perdana Menteri berpendapat, pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran warga satu cabaran terbesar. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Minda Kelas Pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

6. Menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa
Sekiranya Malaysia berjaya menjadi sebuah destinasi pelaburan antarabangsa, ini akan menguntungkan untuk menambahbaik kehidupan rakyat dan menambah dana bagi pembangunan negara dan menuju ke arah negara maju pada tahun 2020.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah, merancang, menggubal dan melaksanakan Dasar-dasar Perdagangan dan Industri supaya berkembang dengan pesat ke arah Pencapaian Dasar Ekonomi Negara dan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Hal ini juga penting untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan menjadi antara negara pedagang yang paling berdaya saing pada tahun 2020.  Selain itu, promosi dan mengatur strategi daya saing global Malaysia di arena perdagangan antarabangsa dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi perlu dilakukan bagi mencapai  hasrat sebagai sebuah negara maju.menjelang tahun 2020.

7. Mewujudkan persekitaran kondusif
Hal ini penting bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam RMK-10,  Peruntukan RMK10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.

Persekitaran yang kondusif ini membolehkan rakyat Malaysia bersaing dengan negara luar dari segi persekitaran yang menjadi elemen kejayaan Malaysia di arena antarabangsa. Kemudahan seperti premis perniagaan, perindustrian, pengangkutan, infrastruktur dan juga kemudahan awam memberi imej positif Malaysia kepada negara luar.

Contohnya sistem pengangkutan domestik dan antarabangsa yang maju, selamat dan mesra alam serta berteknologi tinggi sangat penting bagi malaysia untuk mencapai misi berstatuskan negara maju. Misalnya pelaksanaan projek mega Mass Rapid transit tinggi Malaysia menjadi ikon kepada pembangunan negara belum cukup untuk mengecapi imej sebagai negara maju. Malaysia masih perlu membangunkan jaringan pengangkutan tanpa sempadan sama ada domestik atau intra. Ini merupakah salah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh lain yang memungkinkan Malaysia memajukan persekitaran supaya tidak mustahil untuk mencapai status negara maju melaluui kerjasama antara pentadbir dan rakyat yang ditadbir.

Rumusan :
Dalam konteks mencapai status negara maju menjelang 2020, beberapa elemen penting seperti yang dihuraikan tadi menjadi asas yang perlu dilaksanakan dan dicapai agar kekangan bagi mencapai hasrat tersebut tidak akan menganggu gugat misi negara untuk ke arah bersaiang dan menempatkan diri dalam senarai negara maju dunia. 



Friday, 3 May 2013

Santai Minda Sambil Berfikir Sejenak

Pagi ini merenung beberapa perkara yang melibatkan kerjaya sebagai seorang guru... Kadangkala terfikir berapa ramaikah antara golongan masyarakat yang menilai guru sebagai suatu yang murni dan penting. Pada hal pada pendapat peribadi saya, "hanya GURU dan mereka yang pernah menjadi CIKGU tidak kira sandaran, gantian atau sementara" yang benar-benar tahu kerja guru ini bagaimana, cabaran guru harus dihargai atau diberi pengiktirafan.... memenag tidak ada seorangpun hamba Allah yang terlepas dari kesilapan, kelemahan atau kekurangan. Guru juga seorang manusia. Kami manusia biasa. Jadi adalah wajar kami dinilai, dihargai dan dilihat sebagai seorang hamba yang serba kekurangan. Pada saya tidak ada mana-mana guru mahukan anak muridnya gagal dalam hidup cuma mungkin yang menjadi persoalan bagaimana kaedah dan cara atau pendekatan yang digunakan oleh guru itu ditafsir dan dinilai oleh masyarakat sekeliling termasuklah murid-murid.... Saya juga membaca tulisan Dr Rubiah : 

..................................................................................................................................................................
Antara rakan-rakan yang memberi komen : Zulkarnain Farihin Mustakim 


SUATU ketika dulu guru cukup dihormati dan dianggap ketua dalam masyarakat. Namun, keadaan hari ini berbeza kerana guru menjadi mangsa keganasan pelajar, dicabul, ditumbuk dan dicekik. Justeru, di mana kedudukan guru dalam masyarakat? Biarpun mereka ikhlas berkhidmat mendidik anak bangsa, jika dibalas dengan perlakuan melampaui batas, semangat berkobar-kobar itu tentu merundum. Ditakuti sikap kurang ajar itu boleh mencantas hasrat dan dedikasi guru memberi ilmu dan ini merugikan pelbagai pihak terutama ketika negara menuju Wawasan 2020. Persoalannya, mengapa pelajar yang masih berusia setahun jagung berani bersikap demikian. Apakah kerana pengaruh globalisasi, keadaan keluarga yang kacau bilau atau sikap lepas tangan ibu bapa hingga anak terjebak ke kancah gangsterisme? Ataupun, golongan dewasa tidak memahami gelodak jiwa remaja hingga terus meletakkan kesalahan di bahu mereka?

Pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu satu pihak semata-mata. Menurutnya, menyalahkan pelajar atau guru semata-mata tanpa penjelasan terperinci tidak adil, malah boleh memburukkan lagi keadaan. “Memang, masyarakat keliru apabila membaca paparan disiplin pelajar dan konflik guru hari ini, namun apa jua hukuman wajar dilakukan dengan teliti. “Tidak boleh salahkan mana-mana pihak tanpa meneliti cerita sebenar, malah jika tindakan terburu-buru diambil akan mengeruhkan keadaan dan mewujudkan jurang konflik sedia ada. “Dalam hal ini, sikap saling menghormati sangat penting. Apa pun, taraf guru wajar dihormati,” katanya. Mengulas perkembangan semasa membabitkan guru yang menjadi mangsa pelajar, Dr Rubiah berkata, antara faktor penyumbang ialah pelaksanaan peraturan tidak memasukkan elemen perasaan. Menurutnya, apabila hanya elemen undang-undang statik diamalkan, ia akan mewujudkan kekangan di kalangan perasaan pelajar dan menggugat emosi mereka.

Apabila berlaku krisis, berlaku ledakan perasaan dan jika pelajar tidak mampu menerima, ia akan mencetuskan masalah disiplin selain membenci guru mahupun institusi sekolah. “Untuk mewujudkan 'keserasian' antara guru-pelajar, peraturan sekolah mestilah ada elemen perasaan, bukan sekadar perlaksanaan undang-undang berbentuk statik. “Peraturan saling berkait dengan emosi manusia, jadi perlu ada cetusan emosi di dalamnya. Jika pelajar tidak boleh menerimanya, mereka akan rasa tergugat sebab tiada penghayatan. “Peraturan itu daripada guru dan institusi sekolah tanpa melihat kesesuaian taraf pelajar, ada pelajar boleh, ada yang tidak (terima), justeru, kena tengok keseimbangan sewaktu melaksanakannya,” katanya. Insiden membabitkan pelajar menggemparkan masyarakat sehingga memaksa pelbagai pihak mengambil tindakan drastik bagi membendung senario itu.

Antaranya, menghadapkan pelajar terbabit ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Disiplin sebelum tindakan diambil, mengenakan hukuman keras seperti menggantung sesi persekolahan, tindakan buang sekolah selain mengikuti kursus jati diri. Kementerian Pelajaran juga bertindak dengan melakukan persediaan bagi meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bertujuan mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah. Pada masa sama kementerian juga mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai. Dr Rubiah turut menyarankan, penyelesaian permasalahan antara guru dan pelajar wajar dilihat dari pelbagai perspektif dengan kedua-dua pihak saling memahami peranan masing-masing. Menurutnya, kaedah kaunseling salah satu pemangkin bagi mencari penyelesaian, namun tidak boleh digunakan sepenuhnya kerana hanya memenuhi keselesaan satu pihak iaitu guru.

“Dalam hal disiplin pelajar, yang menjadi mangsa keadaan adalah guru kerana mereka terikat dengan pelbagai peraturan. Untuk mencari jalan penyelesaian disiplin ini, biasanya menggunakan sesi kaunseling. “Jalan terbaik ialah guru pandai mengawal emosi tapi pada masa sama, tunjukkan ketegasan dalam kelembutan. Semaikan juga sifat keibuan,” katanya. Sementara itu, seorang guru, Suliman Latif, berkata tidak dinafikan institusi guru hari ini cenderung berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar tidak dijangka. Menurutnya, kuasa yang terbatas, terikat dengan pelbagai peraturan ditambah dengan sikap sesetengah ibu bapa yang hanya mendengar cerita anak menjadikan sesetengah pelajar 'naik lemak' hingga sanggup memperlekehkan guru. “Insiden pelajar mencekik guru membuktikan bagaimana beraninya pelajar hari ini. “Ini merencatkan perjalanan institusi persekolahan selain berkemungkinan menggagalkan usaha melahirkan generasi pemimpin,” katanya.

BEBERAPA INSIDEN MEMBABITKAN PELAJAR DAN GURU
1. GARA-GARA menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor mengalami trauma apabila lehernya dicekik seorang daripada pelajar terbabit.

2. Warden asrama di sebuah sekolah di Sarawak mendenda 200 pelajar perempuan dengan merendam mereka di dalam kolam hampir sejam kerana seorang daripada mereka enggan mengaku kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas.

3. Seorang bapa mendakwa tulang tangan kanan anaknya retak akibat dipukul guru disiplin sekolah kerana kesalahan tidak membuat kerja rumah, nakal serta ponteng sekolah.

4.Seorang pelajar pekak dan bisu menyaman tiga guru, pengetuanya dan kerajaan Malaysia untuk menuntut ganti rugi khas lebih RM2,000 dan ganti rugi am kerana mendakwa dicederakan dan dicabul kehormatan dalam dua kejadian pada Januari dan Mac tahun lalu.

..................................................................................................................................................................
Pada saya jangan hanya menuding jari pada kami golongan guru. Banyak punca sebenarnya masalah disiplin pelajar ini. Di sekolah guru hanya sebagai pembimbing, kadangkala memberi nasihat dan tunjuk ajar merupakan satu kewajipan. Persoalan saya ialah mengapa kalau masalah disiplin pelajar (remaja) berlaku guru-guru yang dipersalahkan?. Adakah kerana remaja itu masih bersekolah maka guru bertanggungjawab menjadikan disiplin mereka "kacau".... sedangkan kalau difikirkan asas pendidikan tidak formal juga sebenarnya sangat penting dalam membentuk sahsiah. Sekolah hanya sebagai pemantap disiplin tetapi asas disiplin itu bagaimana?. Saya merayu pada masyarakat... jangan suka menuding jari ke arah "orang lain" kerana 1 jari kita tuding ke arah orang, 4 jari akan menuding balik ke arah kita. Semoga ini menjadi renungan. sama-samalah kita mantapkan sahsiah diri agar kita boleh menjadi model kepada masyarakat lain. InsyaAllah.

Jenayah Juvana

JENAYAH JUVANA
Sumbangan Oleh :
Rohana 6A1
SMK Agama Sibu, Sarawak



Jenayah juvana merujuk kepada perlakuan jenayah atau anti-sosial golongan juvenil (remaja). Jenayah jenis ini merupakan sesuatu yang makin membimbangkan semua pihak di seluruh dunia. Ia merupakan satu isu sosial yang penting kerana golongan ini mampu melakukan jenayah berat, namun mereka masih belum boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Antara masalah besar yang dihadapi ialah siapakah yang bertanggungjawab dengan sikap golongan ini. Adakah pihak kerajaan semata-mata, bagaimana pula dengan tanggungjawab ibu bapa? Golongan ini mungkin belum matang dan masih bergantung pada ibu bapa mereka.

Sebenarnya dalam menyelesaikan kes jenayah juvana ini adalah berakar umbikan dari ibu bapa terlebih dahulu baru kita lihat dari aspek persekitaran, sekolah mahupun rakan sebaya.
Antara jenayah yang dilakukan ialah agresif terhadap manusia. Jenayah peras ugut dilakukan oleh mereka yang hidup dalam dunia fantasi sendiri. Vandalisme juga merupakan jenayah yang sering berlaku. Mereka akan merosakkan harta benda dan kemudahan awam di mana-mana khasnya di taman permainan dan sekolah. Jenayah juvana termasuk menipu dan mencuri. Walaupun sebilangan mereka berasal daripada keluarga yang berada, mereka masih melakukan jenayah untuk menunjukkan keberanian mereka. Mereka berasa bangga melibatkan diri dalam aktiviti yang buruk ini.Ketidakpuasan hati terhadap undang-undang dan dasar pendidikan menyebabkan mereka melakukan perkara di luar jangkaan.
Peranan ibu bapa begitu penting dalam mendidik anak-anak. Ada juga dalam kalangan ibu bapa yang tidak ambil berat tentang pendidikan agama.Jadi, bermulalah kehidupan anak tersebut tanpa didikan agama dan seterusnya mereka mudah terjebak dalam kes-kes jenayah seperti ini. Ibu bapa ialah individu paling dekat dan paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah dalam kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Inilah punca utama yang menyebabkan akhlak pelajar-pelajar dan remaja-remaja runtuh.           
 Tambahan pula, pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar-pelajar. Pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan mengalami masalah keluarga mudak dipengaruhi. Ini kerana mereka berasa bergaul dengan rakan sebaya boleh mencorak personaliti individu. Oleh itu, hubungan mereka menjadi rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Meraka berasa bangga semasa diterima oleh rakan sebaya mereka.Oleh itu,mereka sanggup melakukan apa sahaja yang disuruh oleh rakan sebaya mereka.
Media massa juga menjadi punca kegiatan jenayah dalam kalangan remaja. Kemudahan seperti internet, e-mel, televisyen, dan radio memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, dan berhibur. Akan tetapi banyak juga keburukannya seperti,remaja menyalahgunakan internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-gambar lucah, dan sebagainya yang akan mendorong mereka melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal, dan dadah.
Kesan jenayah juvana kepada masyarakat ialah negara kita akan kehilangan modal insan yang berkaliber sekaligus mengugatkan keselamatan negara.Kita boleh cuba bayangkan akibat sekiranya remaja-remaja kini yang ada sekarang rosak akhlaknya pada masa sekarang dan implikasi pada masa depan. Kesan jenayah juvana kepada masyarakat adalah banyak, antaranya kerugian harta benda,terputusnya hubungan silaturahim, kehilangan nyawa dan juga kerugian masa. Masyarakat terpaksa membiayai perbelanjaan remaja yang menjadi pelaku jenayah juvana dalam bentuk seperti bayaran cukai untuk melancarkan program-program mencegah jenayah. Ini bermakna masyarakat akan mengalami kerugian dari segi wang ringgit.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah ibu bapa perlu mendidik anak-anaknya dari kecil sebelum terlambat.Ibu bapa perlulah menberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Selain itu,ibu bapa juga selalu memantau anak-anak terutama dari segi pergaulan mereka. Ibu bapa seharusnya memberi galakan kepada anak-anak mereka dalam menyertai aktiviti-aktiviti seperti ceramah-ceramah agama dan ceramah berbentuk kerohanian yang sesuai bagi anak-anak mereka.Ini boleh memberi panduan kepada mereka dalam mencari kehidupan yang benar.
Selain itu, remaja haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah terpengaruh dengan kawan-kawan mereka. Di sini, ibu bapa mesti selalu berinteraksi dengan ank-anak mereka supaya tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh media massa juga hendaklah dibendung. Pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan tentang pelajaran sahaja. Cara sebegini dapat menghasilkan pelajar bermaklumat sekaligus dapat membendung jenayah dalam kalangan remaja.
Pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau memukul pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Pihak sekolah juga perlu selalu berinteraksi dengan ibu bapa pelajar dengan membuat perbincangan bagi mencari pendekatan awal dalam mengatasi masalah yang lebih serius.