Budaya “tak pe” dalam pemakanan menyebabkan ramai orang
merana dan menderita kerana kesihatan merupakan aset penting kepada setiap
individu. Ini kerana masyarakat kadang-kadang melihat pemakanan yang baik
merupakan suatu yang mudah dan ”tak pe” jika tidak mengamalkan pemakanan sihat
pada masa sekarang. Budaya ”tak pe” juga menjadikan masyarakat mangsa kepada
penyakit moden, seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
Seandainya sikap ”tak pe” dalam pemakanan terus menjadi budaya dalam masyarakat
kita, tidak mustahil negara kita memiliki lebih ramai rakyat yang tidak sihat
pada masa akan datang. (Norkumala Awang : Majalah
Visi, keluaran September 2008 : 31-34)
Kita juga perlu mengelak daripada
mengamalkan sikap ”tak pe” dalam menjaga kebersihan terutamanya kebersihan diri. Kebersihan diri juga
dapat dipelihara jika kita mengamalkan cara hidup sihat seperti tidak merokok. Ini kerana amalan
merokok turut menjejaskan kebersihan diri kita kerana ia boleh menyebabkan gigi
menjadi kuning dan nafas berbau. Sikap acuh tak acuh atau ”tak pe” dalam
menjaga kebersihan diri menyebabkan diri kita mudah terdedah kepada pelbagai
penyakit kulit seperti kurap dan panau serta penyakit-penyakit lain seperti
cirit birit, taun dan sebagainya. (Rosmidzatul Azila Mat Yamin : Majalah Visi, keluaran September 2008 :
17-18)
Aspek kebersihan
persekitaran merangkumi pemeliharaan alam sekeliling. Kebersihan
persekitaran dapat dipelihara jika setiap individu dalam masyarakat dapat
memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menjada persekitaran di
mana-mana sahaja. Namun jika kita amati, pada hari ini, rata-rta tahap
kesedaran dalam menjaga kebersihan terutamanya kebersihan persekitaran masih di
tahap rendah dalam kalangan masyarakat. Buktinya kita masih lagi melihat sampah
dibuang di merata-rata tempat seperti di tempat-tempat awam dan juga
tempat-tempat rekreasi. Sungai-sungai di negara ini masih lagi menjadi ”tong
sampah” kepada segelintir masyarakat kita walaupun banyak tong sampah
disediakan. Walaupun pelbagai usaha giat dan berterusan dijalankan oleh pihak
kerajaan dan badan-badan korporat untuk memelihara dan memulihara alam sekitar,
kita sebagai individu pula masih ramai yang bersikap ”tak pe”, ”tak peduli” dan
”tak kisah”. Keadaan ini sedikit sebanyak membantutkan usaha kerajaan dan
badan-badan terlibat menangani masalah tersebut sehingga ke akar umbi. Masih
ada lagi antara kita membuang sampah di merata-rata tempat seperti cebisan tisu
dan pembalut gula-gula kerana pada anggapan mereka, ”tak pe” kerana nanti ada
orang yang akan mengutipnya. Tiada langsung keinsafan akan tanggungjawab
masing-masing. (Rosmidzatul Azila Mat Yamin : Majalah Visi, keluaran September 2008 : 18)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.