Tuesday, 24 July 2018

Teknologi Maklumat Dalam Urusan Perniagaan


Kelebihan teknologi maklumat dalam membantu kegiatan perdagangan negara dan  halangan-halangan terhadap urusan perdagangan menggunakan teknologi maklumat 

Oleh : Awayna Bt Mezlan

Dalam menongkah arus perdana kemodenan ini, internet telah berjaya menjadikannya pelopor dalam sektor perniagaan dan perdagangan yang ulung lagi moden di negara ini. Sudah banyak usahawan di negara ini yang menggunakan internet untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka terutama dalam meneroka pasaran luar negara. Tindakan ini telah berjaya mewujudkan pelbagai jenis perniagaan baru yang sebelum ini sukar untuk dibayangkan kewujudannya. Namun, sudah pasti wujudnya pelbagai kelebihan dan halangan dalam menggunakan teknologi moden.

Kelebihan utama menggunakan internet dalam menjalankan urusan perniagaan ialah urus niaga mampu dijalankan dengan lebih cepat dan fleksibel kerana kurangnya aktiviti bersemuka dijalankan. Sudah wujud pelbagai perniagaan seperti RelianceTravel.com dan sebagainya yang menyebabkan pelanggan tidak perlu ke pejabat syarikat atau kedai untuk membeli sesuatu barang atau perkhidmatan itu. Mereka tidak tertakluk kepada aspek masa dan sebagainya kerana perniagaan berasaskan internet dibuka sepanjang masa. Ringkasnya, pelanggan tidak perlu melangkah keluar dari rumah mereka untuk melakukan sebarang urus niaga perniagaan pula.

Selain itu, internet juga baik dalam perniagaan kerana itulah selera atau minat generasi muda kini. Maknanya, perniagaan yang berasaskan internet akan wujud untuk beberapa tahun akan datang lantaran mempunyai kelompok pengguna yang suka melakukan urusan perniagaan dengan menggunakan internet. Kewujudan kelompok pengguna muda yang berfikiran berbeza daripada generasi dahulu menjadikan perniagaan internet sesuatu yang berunsur perniagaan masa hadapan pula. Internet menjadi peneraju atau pemangkin untuk wujudnya lebih banyak peluang perniagaan dalam sesebuah negara itu.

Namun, dalam keghairahan kita melihat internet sebagai satu perniagaan boleh, kita harus sedar tahap kepercayaan atau keyakinan penggunan di negara ini agak rendah berbanding dengan negara lain. Pengguna di negara ini masih bimbang akan kualiti produk yang dibeli selain risau akan ditipu pula. Kesukaran untuk melihat produk kerana hiasan gambar dalam internet mungkin mengelirukan menyebabkan ramai pengguna berasa bimbang. Mereka juga risau untuk membuat bayaran secara terus kerana takut akaun mereka akan disalahgunakan oleh pihak tertentu pula.

Malahan, kelemahan utama sistem internet terutama dalam urusan perniagaan ialah aspek keselamatannya. Kita sering mendengar kejadian “hacker” mencuri masuk ke dalam halaman web sesuatu syarikat lalu mengubah kandungannya yang mencetuskan kerugian kepada syarikat pula. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan imej syarikat tetapi keyakinan pengguna terhadap produk syarikat itu turut berubah dengan mudah. Jika keadaan ini berterusan atau mudah berlaku sudah pasti perniagaan mereka berada dalam risiko yang bahaya.

Justeru, langkah kawalan terutama aspek keselamatan perlu ditingkatkan dalam usaha meninggikan skop perniagaan berasaskan internet ini. Tindakan ini penting supaya keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perniagaan internet terus bertambah saban tahun. Pada masa yang sama pula, lebih banyak peluang pekerjaan baru berusaha diwujudkan demi kemakmuran rakyat semua.

Wednesday, 28 March 2018

DASAR AGROMAKANAN NEGARA (2011-2020)



Oleh : 
Nurul Fazillia Binti Maizan (6A Ghazali)

LATAR BELAKANG


Dasar ini dijalankan selama 10 tahun serta telah diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada 28 September 2011 dan telah menggantikan Dasar Pertanian Negara.Dasar ini diadakan untuk menangani isu bekalan makanan di Malaysia.Dengan dasar ini , ia memberi jaminan bahawa jumlah yang bekalan makanan mencukupi dan juga selamat untuk dimakan di negara ini.Selaras dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan adalah dijangka bahawa Dasar Agromakanan akan meningkatkan pendapatan golongan petani dan usahawan tani.Seterusnya,membolehkan perkembangan sektor pertanian sebagai industri yang mantap dan berdaya tahan.

OBJEKTIF

1)Menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan
2)Menjadikan industri agromakanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan
3)Meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani

STRATEGI

1)Meningkatkan pengeluaran dan bekalan makanan
2)Meningkatkan akses kepada makanan
3)Menstabilkan harga makanan
4)Menjamin keselamatan makanan dan pemakanan

KEPENTINGAN PERLAKSANAAN

1)Menjamin bekalan makanan negara
2)Meningkatkan sumbangan industri agromakanan
3)Melengkapkan rantaian nilai
4)Memperkasa modal insan

CABARAN

1)Mengekalkan harga pada paras berpatutan kepada pengguna
2)Teknologi
3)Penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan petani


Thursday, 8 March 2018

DASAR HARTA INTELEK NEGARA (DHIN)


DASAR HARTA INTELEK NEGARA (DHIN)

Oleh : Aminuddin Bin Sahheiran (6A Al-Ghazali)

LATAR BELAKANG

Dasar harta intelek memberi focus kepada memaksimumkan sumbangan harta intelek dlm mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi dan tenologi dgn cara mewujudkan suasana yang menggalakkan penghasilan berterusan harta intelek , menyediakan sistem perlindungan harta intelek berpiawaian tinggi, memajukan pengeksploitasian harta intelek berpotensi komersial, memupuk pembangunan industri – industri sokongan meningkatkan keupayaan sumber manusia untuk melaksanakan dasar dengan jayanya .

RASIONAL DHIN
(a) Sebagai panduan utama dalam penggubalan undang-undang berkaitan harta intelek
(b) sebagai panduan dalam penggubalan dasar ekonomi atau sosial negara
(c) memudahkan pembentukan suasana yang menggiatkan dan memupuk ciptaan, perlindungan , penguatkuasaan , pengurusan dan pengeksploitan maksimum harta intelek yang bertujuan utk membangun kan harta intelek yang cergas sbg pendorong pertumbuhan masa hadapan .

OBJEKTIF
1 . Memastikan tahap perlindungan harta intelek yang terbaik - Perlindungan harta intelek yang mudah dan cepat memberi kelebihan saingan yang lebih baik dan memperoleh pulangan daripada daya usaha dan pelaburan penyelidik

2. Memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan harta intelek - dengan memberi fokus keadaan pengurusan penyelidikan dan inovasi serta pembanguan yang lebih efektif

3. Memajukan pengeksploitasian komersial harta intelek – tujuan untuk membangunkan industri harta intelek yang giat dan penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara

4.Membangunkan kemampuan mengurus harta intelek – amat penting kpd indusri harta intelek yang matang

SRATEGI
1.Tahap system harta intelek yang terbaik- sentiasa mengemaskini undang-undang dan peraturan-peraturan untuk selaras dgn perkembangan antarabangsa, cabaran-cabaran dan isu-isu baru. Menubuhkan Mahkamah Harta Intelek untuk mempercepat pendengaran kes-kes berkaitan harta intelek serta sistem penyelesaian pertikaian alternatif.

2. Memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan harta intelek – menyebarkan hasil penyelidikan dan pembangunan . Memupuk kerjasama dan perkongsian bijak antara sektor kerajaan dan sektor swasta dan antara institusi-institusi penyelidikan dan industri.

3. Pembangunan kemampuan mengurus harta intelek – membangunkan sekumpulan pakar-pakar mahir di smua peringkat rangkaian aktiviti-aktiviti harta intelek. Menggalakkan sektor awam dan swasta supaya mengurus baik harta intelek yang dimiliki dengan menyediakan garis panduan dan buku panduan yang jelas.


IMPLIKASI PERLASANAAN DHIN
1. Memajukan pelaburan dan pemindahan tekonologi asing
2.Meningkatkan tahap inovasi
3.Meningkatkan ekonomi negara
4.Memperkukuh daya saing negara

CABARAN DHIN
1.Melaksanakan model pemikiran yang lebih berdaya saing-kewajaran melaksankan model pemikiran harta intelek yang lebih fleksibel supaya impak perlaksanaan dapat dilihat daripada pengkomesilan model-model melalui perbandingan dgn negara-negara yang melaksanakan model-model terbabit.

2.Menguruskan pendedahan dan kerahsiaan dgn lebih efektif-pendedahan penciptaan dengan mengekploitasi hasil penyelidikan dan inovasi seperti, menyebarkan hasil penyelidikan melalui penerbitan yang diadakan di dalam dan luar negara untuk menarik minat pelabur asing serta pendedahan penciptaan untuk tujuan perlindungan dan komersial.

3. Melaksanakan agihan pendapatan pada kadar yang lebih kompetitif

4.Menyediakan strategi yang dapat membantu menentukan pilihan pengkomersilan terbaik


Wednesday, 12 June 2013

Malaysia Kekal Berdaulat : Konsep Negara secara ringkas

Konsep Negara

Negara adalah satu kawasan yang mempunyai penduduk yang tetap dan berdaulat , sempadan yang diiktiraf dan diperintah oleh sebuah kerajaan.

Penduduk/Rakyat – kelompok masyarakat yang mendiami sebuah wilayah fizikal

Tetap – komuniti (masyarakat) yang mendiami sesebuah kawasan secara tetap

Sempadan yang diiktiraf – mempunyai institusi pemerintah yang berkesan (sebuah kerajaan)

Sistem Pemerintahan - Sistem kerajaan yang teratur. Di Malaysia 3 komponen utama = Badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman.


Monday, 6 May 2013

Latihan Esei : Malaysia sebagai hub halal dunia


Soalan : Malaysia sebagai sebuah pusat atau hub produk halal bukan sahaja mempunyai kepentingan bagi memacu ekonomi negara tetapi merangkumi beberapa aspek pembangunan yang lain. Jelaskan pernyataan ini.

(Skema : 5+0) = Kepentingan/manfaat 

Pengenalan : 
Hub halal merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran produk halal. Hub produk halal penting untuk memudahkan orang ramai memperoleh bekalan makanan halal.

Isi Perbincangan :
1. Memacu pertumbuhan ekonomi negara :
- Malaysia diiktiraf sebagai "hub halal dunia" pada tahun 2010.
- Meningkatkan pendapatan negara.
- Nilai pasaran global bagi produk halal Malaysia pada tahun 2010 = dianggarkan RM8 trillion setahun

2. Wujudnya industri hiliran :
- wujudnya sektor berasaskan ekonomi pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran
- contoh _ industri penternakan - daging lembu - burger, sosej, satay dan sebagainya.
- sebagai pemacu ekonomi golongan masyarakat khasnya dan membantu kepelbagaian ekonomi halal Malaysia amnya.

3. Meningkatkan taraf hidup :
- Memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan
- secara langsung kurangkan kadar pengangguran
- kurangkan kadar kemiskinan & tingkatkan pendapatan isi rumah melalui keluaran produk halal walaupun dalam jumlah yang sedikit.

4. Mengurang krisis bekalan makanan halal :
- hub ini berupaya membekalkan makanan halal yang diperlukan
- memnajdi pembekal kepada negara bukan Islam seperti Jepun, China, Korea, Filipina, Hong Kong, UK dll.

5. Pemindahan teknologi :
- menggalakkan penglibatan pengusaha, peniaga dan pelabur antarabangsa
- teknologi dari negara luar dibawa masuk
- contoh : teknologi pembungkusan dan pemprosesan

Gagasan 1Malaysia

Gagasan 1Malaysia -Antara Manfaatnya-
Disumbangkan oleh :
~M.Mirza Zulhilmi~



Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Antara tujuan Gagasan 1Malaysia ialah memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang boleh menganggu gugat ketenteraman dan perpaduan masyarakat dan negara. Gagasan ini juga, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum.

Kebaikan :
1. Menerapkan nilai-nilai perpaduan :
Konsep 1Malaysia ialah satu gagasan untuk memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira asal keturunan sama ada Melayu, Cina, India mahupun golongan etnik bumiputera yang lain dan  sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Sikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain perlu dijauhi. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama kelompok kaum dan keturunan yang berbeza. Setiap perlakuan, tutur kata dan tindakan perlu dijaga supaya mengelak perbalahan dan merasakan kita sebagai “satu masyarakat Malaysia” yang mempunyai hak yang sama. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan. Konsep 1Malaysia ini mampu membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada keharmonian serta kemajuan negara.

2. Konsep 1Malaysia dapat menjana tranformasi negara :
Negara Malaysia terdiri daripada kohot masyarakat yang mempunyai latar belakang da nasal usul pendidikan, tahap sosio ekonomi dan cara hidup yang berbeza. Lokasi kependudukan juga ada yang di Bandar, pinggir Bandar dan luar Bandar. Ini sudah memungkinkan cara berfikir dan cara hidup adalah berbeza. Jika konsep 1 Malaysia dapat  ditanam di kalangan masyarakat, mereka akan dapat menerima transformasi  yang diperkenalkan oleh kerajaan secara terbuka. Selain itu, dalam konsep 1 Malaysia, semua rakyat tidak mengira kaum boleh mendapat bidaan projek pembangunan kerajaan dengan adil dan saksama kerana Konsep 1Malaysia ialah “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” memastikan semua golongan masyarakat akan dipastikan hak keadilan sosio ekonomi merera selaras dengan visi Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

3. Jaminan politik yang stabil untuk negara Malaysia
Bagi melaksanakan gagasan ini, tidak kira apapun bentuk jentera pentadbiran negara, semua pihak pentadbir perlu bekerjasama dengan menegetpikan ideology politik dan kepentingan peribadi dengan mengambil berat tentang kepentingan rakyat sebagai ciri keutamaan negara. Setiap lapisan masyarakat sama ada tua muda, cerdik pandai ataupun apa sahaja golongan lapisan masyarakat perlu memikirkan tentang teladan peristiwa 13 Mei 1969 supaya ianya tidak berulang kembali. Daya kepimpinan dan bentuk pimpinan jentera pentadbiran negara dengan tersemainya konsep 1Malaysia ini memungkinkan lapisan pemimpin yang bakal dilahirkan kini dan masa akan dating ialah dari kalangan mereka yang mempunyai asas pengetahuan dan nilai penghormatan terhadap adat resam dan cara hidup semua golongan lapisan masyarakat di Malaysia.

Rumusan :
Sesungguhnya Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Wawasan 2020 -Pendekatan yang Dilakasanakan Untuk Mencapai Wawasan 2020-





Konsep Wawasan 2020 mula diperkenalkan bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020 secara menyeluruh. Antara pendekatan yang harus dilakukan ialah melalui beberapa perkara di bawah ini :

1. Pembentukan sebuah Negara Bangsa :
Negara bangsa ialah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara bangsa membentuk sebuah negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental. Rakyatnya akan menikmati kehidupan berasaskan persamaan hak, keadilan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan negara. Faktor-faktor yang membawa kepada pembentukan negara bangsa ialah lingua franca, integrasi, kewarganegaraan, patriotisme dan demokrasi. Dalam usaha pembentukan negara bangsa ini, kerajaan memfokus dan melaksanakan strategi iaitu memperkasakan Bahasa Kebangsaan, memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri dan semangat patriotik dalam diri individu.

Pembentukan sebuah negara bangsa menjadi prasyarat kepada kemajuan negara kerana rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa. Tanpa penyatuan pemikiran dan kerjasama, kemajuan negara tidak akan tercapai.

2. Membentuk negara perindustrian :
Ekonomi Malaysia melalui proses transformasi yang pesat dari sebuah negara yang dulu ekonominya bergantung kepada sektor pertanian kepada sebuah negara yang berteraskan sektor industri yang berkembang maju. Barangan perkilangan kini menyumbang lebih 80.0% daripada jumlah eksport negara, dengan barangan elektrik dan komposisi industri yang terlibat, negara ini bertaraf industri maju, namun hakikatnya ekonomi Malaysia telah melalui suatu era perindustrian yang pesat. Perkembangan sektor perindustrian kini bukan setakat untuk memenuhi keperluan domestik semata-mata, tetapi lebih kepada usaha untuk menembusi pasaran global. Fenomena yang sama turut berlaku dalam sektor perkhidmatan. Cabaran terbesar yang perlu dihadapi kini ialah bagaimana cara meningkatkan keupayaan ekonomi negara dalam menghadapi era globalisasi supaya dapat terus bersaing di pasaran antarabangsa. Dalam waktu yang sama, tingkat kebajikan penduduk terus dapat dipelihara. Justeru, ekonomi Malaysia harus mampu memenuhi tuntutan globalisasi dan lebih bersedia menghadapi era pascaindustri yang lebih mencabar. (Rujukan :  Ishak Yussof, Nor Aini Idris dan Basri Abdul Talib. 2006. “Ekonomi Malaysia Ke arah Pascaindustri”.)

Hal ini bukan sahaja melibatkan transformasi kehidupan berpaksikan pertanian tetapi juga melibatkan transformasi ekonomi, sosial, kebudayaan dan teknologi. Masyarakat negara maju didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi serta inoivasi dan bukan sahaja mencedok dan mengubahsuai semata-mata.

3. Keadilan ekonomi dan sosial
Mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang suatu yang penting bagi mewujudkan negara maju dan bersatu ke arah wawasan 2020. Hal ini kerana untuk mengelak dari wujudnya masyarakat tercicir kerana akan berlaku salah anggap terhadap ketidakadilan bantuan untuk setiap lapisan masyarakat dari segi pembangunan ekonomi dan sosial. Keseimbangan ini penting supaya wawasan ke arah negara maju akan dicapai.

4. Membentuk masyarakat bermoral dan beretika tinggi :
Nilai dan masyarakat amat berkait rapat. Jika sesebuah masyarakat mengamalkan nilai baik, masyarakat tersebut mampu hidup harmoni dan berkembang  maju . Anggota dalam sesebuah masyarakat  terdiri daripada individu, keluarga, organisasi dan masyarakat itu sendiri. Etika nilai penting dalam kehidupan masyarakat kerana ia berhubung dengan perlakuan tingkahlaku masyarakat manusia  sama ada baik atau buruk. Negara dapat berkembang maju dan pesat tanpa gangguan.

Malaysia kepada sebuah negara maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru cara dan corak negara-negara maju yang wujud sekarang.  Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja.  Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi.  Kehendak ini adalah bertepatan dengan cabaran ketujuh yang terkandung dalam Wawasan 2020.  Cabaran ketujuh tersebut adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Masyarakat yang sempurna seharusnya berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika yang tinggi demi untuk kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara.  Menghayati dan mengamalkan falsafah moral dan etika adalah penting kerana kemajuan daripada segi kebendaan sahaja akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang. Penghayatan dan amalan nilai-nilai moral dan etika oleh setiap anggota masyarakat akan menjadi penghalang dalaman kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kelebihan yang dimiliki untuk mengganggu hak orang lain. 

5. Melahirkan modal insan kelas pertama :
Untuk mempersiapkan diri kita didalam organisasi dan misi negara ke arah negara maju menjelang 2020, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan. ‘Minda Kelas Pertama’ secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Justeru, langkah kerajaan di bawah pimpinan mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan belia Minda Kelas Pertama adalah bertepatan sekali dengan misi dan visi negara untuk mencapai sasaran Negara Dunia Pertama. Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Demikian antara ungkapan penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan RMK-9. Perdana Menteri berpendapat, pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran warga satu cabaran terbesar. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Minda Kelas Pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

6. Menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa
Sekiranya Malaysia berjaya menjadi sebuah destinasi pelaburan antarabangsa, ini akan menguntungkan untuk menambahbaik kehidupan rakyat dan menambah dana bagi pembangunan negara dan menuju ke arah negara maju pada tahun 2020.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah, merancang, menggubal dan melaksanakan Dasar-dasar Perdagangan dan Industri supaya berkembang dengan pesat ke arah Pencapaian Dasar Ekonomi Negara dan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Hal ini juga penting untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan menjadi antara negara pedagang yang paling berdaya saing pada tahun 2020.  Selain itu, promosi dan mengatur strategi daya saing global Malaysia di arena perdagangan antarabangsa dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi perlu dilakukan bagi mencapai  hasrat sebagai sebuah negara maju.menjelang tahun 2020.

7. Mewujudkan persekitaran kondusif
Hal ini penting bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam RMK-10,  Peruntukan RMK10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.

Persekitaran yang kondusif ini membolehkan rakyat Malaysia bersaing dengan negara luar dari segi persekitaran yang menjadi elemen kejayaan Malaysia di arena antarabangsa. Kemudahan seperti premis perniagaan, perindustrian, pengangkutan, infrastruktur dan juga kemudahan awam memberi imej positif Malaysia kepada negara luar.

Contohnya sistem pengangkutan domestik dan antarabangsa yang maju, selamat dan mesra alam serta berteknologi tinggi sangat penting bagi malaysia untuk mencapai misi berstatuskan negara maju. Misalnya pelaksanaan projek mega Mass Rapid transit tinggi Malaysia menjadi ikon kepada pembangunan negara belum cukup untuk mengecapi imej sebagai negara maju. Malaysia masih perlu membangunkan jaringan pengangkutan tanpa sempadan sama ada domestik atau intra. Ini merupakah salah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh lain yang memungkinkan Malaysia memajukan persekitaran supaya tidak mustahil untuk mencapai status negara maju melaluui kerjasama antara pentadbir dan rakyat yang ditadbir.

Rumusan :
Dalam konteks mencapai status negara maju menjelang 2020, beberapa elemen penting seperti yang dihuraikan tadi menjadi asas yang perlu dilaksanakan dan dicapai agar kekangan bagi mencapai hasrat tersebut tidak akan menganggu gugat misi negara untuk ke arah bersaiang dan menempatkan diri dalam senarai negara maju dunia.